fbpx
.st0{fill:#FFFFFF;}

Vaksin Influenza Boleh Mencegah Influenza 

 January 11, 2020

By  Dr Hasbi

vaksin influenza berkesan mencegah demam influenza

Apakah Fungsi Vaksin Influenza

Pertama dan paling penting dalam mencegah influenza adalah dengan mengambil suntikan vaksin influenza setiap tahun. Vaksin influenza dapat mengurangkan penyakit berkaitan selsema dan risiko komplikasi serius selsema sehingga masuk hospital malah kematian.

CDC juga menggalakkan orang ramai mengamalkan langkah berjaga-jaga seperti menjauhi orang yang dijangkiti, menutup mulut ketika batuk dan bersin serta kerap membasuh tangan untuk mencegah perebakan kuman influenza.

Apakah Penyakit Influenza

Influenza ialah penyakit saluran pernafasan yang mudah berjangkit disebabkan oleh virus influenza yang menjangkiti hidung, tekak dan kadang-kala paru-paru. Ia boleh menyebabkan sakit ringan sehingga berat dan boleh jadi membawa maut.

Tanda-Tanda Influenza

Influenza tidak sama dengan selsema biasa. Walaupun tanda-tanda awal sama seperti selsema namun influenza berlaku lebih cepat dan memberi kesan yang lebih teruk.

Diantara tanda-tanda influenza pada kanak-kanak:

  • Demam pansa berpanjangan
  • Batuk, selsema dan sakit tekak
  • Sukar bernafas atau sesak dada
  • Kulit bertukar menjadi biru
  • ​Sukar meminum air atau tidak mahu menyusu
  • Kelihatan keliru atau mengalami sawan

Bagaimana Influenza Merebak

Pakar percaya virus influenza biasanya merebak melalui titisan air kecil yang terhasil bila seseorang batuk, bersin atau bercakap. Titisan air kecil ini kemudian mendarat di dalam mulut dan hidung orang berdekatan.

Kadang-kala, seseorang itu boleh dijangkiti virus influenza bila menyentuh permukaan atau objek yang terdapat virus influenza padanya serta kemudian menyentuh mulut, hidung dan mungkin mata.

Tempoh Matang Jangkitan Influenza

Seseorang yang dijangkiti virus influenza boleh menyebarkan virus influenza sebelum dia sendiri jatuh sakit atau sedang sakit. Biasanya tanda-tanda sakit bermula 1-4 hari selepas terkena jangkitan.

  • Orang yang dijangkiti paling mudah menyebarkan virus selepas 3-4 hari jatuh sakit
  • Dewasa yang sihat boleh menjangkiti virus sehari sebelum sakit dan sehingga 5-7 hari selepas sakit
  • Sesetengah orang yang lemah imuniti dan kanak-kanak boleh menjangkiti orang lain lebih lama 

Ujian Pengesahan Jangkitan Influenza

ujian pengesahan jangkitan influenza A & B

Selain ujian darah terdapat ujian lain yang lebih pantas untuk mengenalpasti jangkitan influenza A dan B. Ujian pantas ini cuma memerlukan sampel daripada belakang tekak atau cecair dari rongga hidung.

Ujian pantas influenza ini cuma mengambil masa beberapa minit untuk mengetahui keputusan samada negatif ataupun positif jangkitan Influenza A atau B atau kedua-dua A dan B.

Walaubagaimanapun, ketepatan keputusan ujian pantas ini bukanlah 100% kerana tahap sensitiviti cuma 50-70 peratus sahaja. Ia juga bergantung kepada kualiti kit ujian yang digunakan.

Ubat Anti-Virus Influenza

ubat anti-virus oseltamivir

Ubat anti-virus juga memainkan peranan penting selain vaksin influenza dalam membendung penularan jangkitan influenza. Biasanya ubat oseltamivir digunakan untuk rawatan pesakit luar.

Namun jangkitan yang lebih serius memerlukan rawatan rapi di hospital untuk memantau kemungkinan komplikasi jangkitan influenza yang boleh membawa maut sekiranya lambat dirawat. 

Ubat ini juga boleh diambil sebagai langkah pencegahan jangkitan influenza sebelum terkena terutamanya bagi mereka yang duduk berdekatan dengan seseorang yang disahkan menghidapi influenza.

vaksin influenza murah puchong

Siapa Boleh Ambil Vaksin Influenza?

Pakar mencadangkan vaksin nfluenza kepada semua berumur 6 bulan keatas.

Sesetengah orang mempunyai risiko lebih tinggi mendapat jangkitan influenza. Mereka dan ahli keluarga digalakkan untuk mengambil vaksin ini. Mereka termasuk:

  • Wanita mengandung
  • Kanak-kanak kurang 5 tahun
  • Warga emas berumur 65 tahun keatas
  • Orang yang mempunyai penyakit kronik

Doktor tidak mencadangkan kanak-kanak yang ada alergi telur mengambil vaksin influenza. Namun pakar berpendapat hanya sedikit alergen telur yang ada dalam vaksin dan ianya selamat diambil.

Keberkesanan Vaksin Influenza

Pengambilan vaksin influenza dapat mengurangkan risiko terkena jangkitan influenza. Perlu diingat tubuh memerlukan tempoh masa sekurang-kurangnya 2 minggu sebelum menghasilkan antibodi melawan virus influenza.

Saya pernah menerima kes jangkitan influenza seorang kanak-kanak yang baru mengambil suntikan vaksin influenza tak sampai 2 minggu. Ini kerana dia belum imun sepenuhnya kerana baru disuntik vaksin.

Manakala satu kes lagi, walaupun sudah 3 bulan menerima vaksin influenza masih lagi terkena jangkitan influenza kerana dia betul-betul duduk sebelah kawannya dalam kelas yang terkena influenza.

Namun, jangkitan influenza pada seseorang yang sudah mengambil vaksin biasanya tidak akan menjadi terlalu serius. Ia akan mengurangkan komplikasi akibat jangkitan dan risiko dimasukkan ke wad.

Umumnya, vaksin influenza mengurangkan risiko jangkitan sebanyak 40-50 peratus sahaja. Walaupun nampak rendah tetapi mengurangi risiko separuh sudah cukup baik berbanding tidak ada langsung.

Perlindungan terhadap jangkitan influenza juga tidak begitu lama. Biasanya selepas vaksin, imuniti terhadap influenza bertahan selama 6-12 bulan sahaja. Tahap imuniti akan berkurang selepas beberapa bulan.

Satu Dos Atau Dua Dos Vaksin?

Kanak-kanak berumur 9 tahun keatas hanya perlukan satu (1) dos vaksin sahaja. Manakala kanak-kanak bawah 9 Tahun boleh jadi perlu satu atau dua dos:

Satu (1) Dos
  • Pernah ambil 2 dos vaksin dalam seumur hidup
Dua (2) Dos
  • Tidak pernah atau pernah sekali ambil vaksin influenza

Bagi kanak-kanak yang memerlukan 2 dos, jarak diantara suntikan hendaklah sekurang-kurangnya 4 minggu. 

DAPATKAN VAKSIN INFLUENZA HARI INI

Lindungi Anda & Keluarga Tersayang Daripada Jangkitan Influenza

Dr Hasbi


Hai, saya Dr Hasbi dan pemilik Klinik DR HASBI. Saya akan menulis kandungan blog untuk berkongsi info berkaitan kesihatan.

Your Signature

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Subscribe to our newsletter now!

>