





Malang Tidak Berbau
Malang tidak berbau bagi adik ini bila tergelincir dan dahi terhantuk lantai simen ketika bermain. Bila terjadi kes begini steristrip dan gam glustitch sangat berguna untuk menutup luka. Walaupun saya tiada gam glustitch ketika itu, saya ada steristrip untuk tujuan yang sama.
Ceritanya, adik hensem ni main berkejar-kejar ketika ayahnya basuh kereta. Sebab itulah lantai basah dan licin menyebabkan dia terjatuh. Awalnya darah banyak mengalir keluar tetapi ayahnya pandai menekan lukanya dengan sehelai kain bersih.
Bila tiba di klinik darah sudah berhenti. Saya puji tindakan ayahnya kerana bukan semua orang tahu untuk menekan luka. Jika cuma menutup luka dengan kain tanpa memberi tekanan biasanya darah akan terus mengalir dan boleh menyebabkan pendarahan yang banyak.


Steristrip dan Gam Glustitch Lebih Praktikal
Jika diberi pilihan diantara steristrip, gam glustitch dan jahit sudah tentu ibu bapa memilih gam atau steristrip. Ini kerana kedua cara ini tidak memerlukan suntikan ubat bius sebelum melakukan jahitan. Sudah tentu anak juga takut.
Jika dibandingkan hasil parut yang terhasil daripada ketiga-tiga cara tersebut ternyata steristrip dan gam glustitch meninggalkan parut yang paling minima. Walaupun begitu, kesan parut daripada jahitan juga akan hilang perlahan-lahan.
Namun tidak semua luka sesuai dirawat menggunakan kaedah ini. Ia sesuai digunakan pada luka yang kecil dan tidak dalam, bersih dan kering. Tempat luka mestilah kering agar gam dan steristrip melekat dengan kuat sehingga luka sembuh.
Berapa Lama Luka Akan Sembuh
Luka akan cepat sembuh dengan risiko rendah jangkitan kuman dan parut hodoh jika luka dibersihkan dan ditutup kemas. Jika luka dijahit atau stapler, elakkan terkena air dalam masa 24 jam. Benang tidak serap dan stapler biasanya dibuka selepas 5-14 hari.
Jika luka ditutup dengan steristrip, pastikan ia kering dan tidak terkena air selama beberapa hari. Ia mudah tertanggal sekiranya basah dan hendaklah ditutup ketika mandi. Biasanya ia akan tertanggal sendiri dalam masa 2 minggu.
Gam glustitch hendaklah dibiarkan kering selama 4 jam. Selepas 4 jam boleh terkena air sekejap-sekejap serta dibersihkan dengan sabun tetapi hendaklah dikeringkan segera. Biasanya gam akan tanggal sendiri selepas 5-10 hari.
Semoga adik itu cepat sembuh!