
Risiko Berkhatan Dua Kali?
Memang benar jika berkhatan ketika bayi mempunyai risiko berkhatan dua kali bila besar nanti. Namun risiko ini dapat dihindari khatan dilakukan dengan betul oleh doktor yang berpengalaman.
Umumnya ramai yang tahu berkhatan dapat mengurangkan risiko jangkitan saluran kencing, kanser zakar, penyebaran penyakit kelamin termasuklah HIV dan banyak lagi.
Walaupun majoriti bayi yang berkhatan tidak mengalami komplikasi, tetapi terdapat juga sebahagian kecil kes yang memerlukan rawatan susulan dan serta keperluan bersunat sekali lagi.
Kes Berkhatan Dua Kali Meningkat
Dalam satu kajian yang dilakukan di sebuah hospital di luar negara, terdapat peningkatan kes bayi yang berkhatan memerlukan revisi dan perlu menjalani khatan sekali lagi.
Kemungkinan punca yang menyebabkan peningkatan kes adalah:
- penurunan kualiti khatan dikalangan bayi
- peningkatan jumlah khatan dikalangan bayi
- jangkaan yang berbeza mengenai hasil akhir khatan
Kenapa Perlu Khatan Dua Kali
Bila bersunat kadang-kadang kulit zakar melekat balik di kepala zakar. Biasanya terjadi kerana kulit yang dibuang tidak mencukupi dan masih banyak kulit kulup yang masih tinggal.
Kulit yang masih lebih akibat khatan yang tidak sempurna boleh menyebabkan lekatan dan kadang-kala ia boleh menutup seluruh kepala zakar sehinggakan nampak seolah-olah tidak bersunat.
Kadang-kadang kulit dipotong tidak sama panjang menyebabkan lekatan yang tidak seimbang dan nampak senget.
Biasanya rivisi khatan perlu dilakukan bila kulit yang lebih menyebabkan iritasi dan jangkitan kuman pada zakar. Lekatan biasanya menyebabkan rongga bawah kulit yang mudah dijangkiti kuman.
Jika lekatan kulit pada kepala zakar tidak dibaiki ia boleh menyebabkan batang zakar menjadi bengkok dan tidak selesa ketika berlaku ereksi.
Jika terlalu banyak kulit yang terlebih lebih baik dilakukan khatan sekali lagi kerana zakar tidak akan 'membesar' melepasi kulit kulup yang panjang. Namun ia boleh ditangguh dahulu.
Penjagaan Selepas Khatan Elak Komplikasi
Walaupun penjagaan luka khatan ketika usia bayi amat mudah namun ia tidak harus dipandang ringan. Luka khatan bayi biasanya mengambil masa 5-7 hari untuk sembuh tetapi kulit bahagian kepala zakar masih melekit.
Jika bayi dikhatan menggunakan kaedah clamp, kepala zakar bayi terlindung didalam corong clamp dan masih basah. Bila clamp dicabut pada lebih kurang hari kelima kepala zakar akan terdedah dan perlu dijaga agar tidak melecet sehingga ia kering.
Sebaiknya setiap kali bayi dimandikan, bersihkan kepala zakar dan perlahan-lahan tarik kulit zakar untuk melepaskan takuk kepala zakar yang melekat pada kulit bahagian dalam. Kulit dalam biasa akan melekat pada kepala zakar dan ini adalah biasa.
Zakar bayi biasanya 'buta' atau dalam keadaan fimosis semasa berkhatan. Ketika proses berkhatan doktor akan melepaskan seperti mengoyakkan kulit kulup yang melekat pada kepala zakar. Bahagian yang melekat kuat boleh luka dan melekit.
Sekiranya ibu bapa tidak melepaskan kulit yang melekat setiap kali bayi dimandikan, kemungkinan komplikasi 'secondary phimosis' atau fimosis sekunder akan terjadi. Jika tidak pasti ibu bapa mestilah dapatkan nasihat doktor sebelum terlambat.
Apakah Komplikasi Biasa Khatan Bayi?
Jawapannya tiada komplikasi yang biasa berlaku kerana ia adalah prosedur yang selamat. Jarang-jarang berlaku pendarahan yang sedikit dan boleh dihentikan dengan balutan bandage. Jarang ia perlu dijahit.
Kecederaan pada kepala zakar atau saluran kencing boleh berlaku jika clamp dipasang tidak betul. Teknik khatan 'laser' tidak sesuai untuk bayi kerana risiko kecederaan lebih tinggi.
Jika kulit dibuang terlalu banyak ia menyebabkan zakar menjadi pendek kerana sebahagian batang tenggelam dalam badan. Keadaan ini mungkin perlu dibaiki melalui pembedahan oleh doktor pakar.
Khatan tidak sempurna dimana kulit dibuang terlalu sedikit. Kulit yang lebih seperti tidak bersunat akan mempunyai masalah kebersihan. Najis senang terkumpul dan menyebabkan jangkitan kuman.