
Rawatan PRP Lutut Dikalangan Warga Emas
Rawatan PRP lutut akan gagal jika pesakit masih mengambil ubat pencair darah seperti aspirin dan warfarin ketika menerima rawatan PRP. Ini kerana ubat-ubat tersebut menyekat penghasilan faktor pertumbuhan daripada platelet.
Kebanyakan pesakit yang menghidap sendi reput osteoartritis adalah dikalangan warga emas. Oleh itu memang biasa mereka juga menghidap penyakit kronik lain seperti sakit jantung yang memerlukan rawatan cair darah.
Anak-anak yang berhasrat membawa ibu atau bapa untuk rawatan PRP harus membawa senarai ubat yang mereka ambil untuk ditunjukkan kepada doktor. Selain itu sebaiknya mereka dibawa untuk imbasan x-ray kedua belah lutut terdahulu.
Jenis-Jenis Ubat Cair Darah
Terdapat dua jenis utama ubat cair darah iaitu antikoagulasi dan antiplatelet. Contoh ubat antikoagulasi adalah warfarin dan heparin manakala contoh ubat antiplatelet adalah aspirin. Pastikan anda kenal ubat-ubat ini jika tidak mahu rawatan PRP anda gagal.
Antikoagulasi dan antiplatelet adalah ubat yang mengurangkan pembekuan darah dalam arteri, vena atau jantung. Darah beku boleh menutup perjalanan darah ke jantung dan menyebabkan serangan jantung. Ia juga menghalang darah ke otak mengakibatkan strok.

Ubat Cair Darah Menghalang PRP
Ubat cair darah seperti aspirin menghalang penghasilan faktor pertumbuhan dalam rawatan PRP. Faktor pertumbuhan seperti VEGF, PDGF, TGF-B dan banyak lagi akan dihasilkan perlahan-lahan selepas PRP disuntik kedalam lutut.
Semua faktor pertumbuhan ini akan mengaktifkan sel stem setempat dan mula bekerja untuk membaiki dan memulih tisu yang rosak. Jika faktor pertumbuhan tidak dihasilkan maka rawatan PRP akan gagal dan tidak menghilangkan sakit lutut.
Tempoh Masa Berhenti Ubat Cair Darah
Contoh-contoh ubat mengandungi aspirin adalah Glyprin, Casprin, Clopidogrel, Cardiprin dan Plavix. Ubat aspirin mengambil masa lebih kurang 10 hari untuk hilang kesannya keatas platelet. Jadi paling selamat aspirin hendaklah dihentikan dua minggu sebelum prosedur.
Ubat cair darah yang lain seperti warfarin hendaklah dihentikan selama 4-5 hari sebelum rawatan PRP. Namun anda dinasihati untuk mendapat kebenaran daripada doktor yang memberi preskripsi ubat tersebut terlebih dahulu.
Setiap ubat cair darah berbeza tempoh separuh hayatnya. Penentuan berapa lama sesuatu ubat itu perlu dihentikan adalah mengikut tempoh separuh hayat masing-masing. Tanya doktor anda untuk kepastian agar tidak tersilap.
Pastikan Rawatan PRP Tidak Gagal Kali Pertama
Walaubagaimanapun, ada lagi beberapa perkara yang perlu diketahui sebelum memulakan rawatan PRP. Silalah datang ke klinik saya untuk penerangan dan pemeriksaan lebih lanjut agar anda lebih jelas mengenai kaedah rawatan ini.
Paling penting anda tidak terburu-buru mendapatkan rawatan ini biarpun kesakitan lutut sudah tidak tertahan. Ada juga yang datang walk in terus mahu suntik PRP kerana terlalu sakit padahal ada ubat cair darah yang diambil perlu dihentikan dulu.