
Khatan Bayi Lelaki Ketika Lahir
Jika anda bersalin di hospital mungkin anda boleh minta doktor disitu khatankan bayi anda sebelum balik. Walaupun nampak mudah namun anda mestilah tahu persediaan khatan bayi lelaki sebelum membuat keputusan begitu.
Jika bayi perempuan, ada sesetengah hospital doktor atau bidan yang menyambut kelahiran akan bertanya kepada ibu samada mahu terus khatan bayinya. Ini kerana khatan bayi perempuan adalah prosedur yang ringkas.
Persediaan Sebelum Khatan Bayi Lelaki
Anda mungkin rasa ragu-ragu dan tidak pasti samada hendak khatankan bayi atau tunggu bila besar. Jika begitu anda boleh dapatkan nasihat yang tepat daripada doktor keluarga, pakar pediatrik, pakar bedah pediatrik atau doktor pakar sakit tuan.
Biasanya bayi yang lahir cukup bulan selamat dikhatan dalam usia 2 hari. Biasanya doktor mencadangkan usia 2-3 minggu untuk berkhatan. Jika mengikut sunnah Nabi, bayi lelaki dikhatankan pada hari ke-7 kelahiran.
Anda harus tunggu dulu jika bayi dilahirkan tidak cukup bulan, jika ada kecacatan pada zakar atau jika bayi dan ahli keluarga yang mengidap masalah pembekuan darah. Dapatkan pemeriksaan doktor terlebih dahulu jika ada.
Semasa Proses Berkhatan
Sebelum mula doktor akan menjelaskan tentang kebaikan khatan, risiko yang mungkin terjadi semasa dan selepas proses berkhatan. Doktor akan meminta kebenaran bertulis atau secara lisan daripada ibu bapa.
Bayi tetap akan menangis bila suntikan bius setempat diberi. Sebaiknya berikan puting kosong yang dicelup air gula untuk menenangkan bayi menangis. Doktor mungkin akan masukkan ubat punggung sebelum khatan bermula.
Khatan bayi mengambil masa lebih kurang 15-20 minit saja. Sepanjang proses ibu bapa diminta menenangkan bayi sambil memegang kaki dan badan bayi agar tidak bergerak. Jika doktor ada pengikat kaki velcro maka ia lebih mudah.
Penjagaan Selepas Khatan

Ubat bius biasanya tahan sehingga 3 jam. Selesai khatan doktor akan terus masukkan ubat punggung untuk menahan sakit sebelum kesan ubat kebas habis. Dos seterusnya diberikan selepas 4-6 jam ketika dirumah.
Penjagaan luka khatan berbeza mengikut kaedah khatan. Jika guna cara clamp, air kencing akan keluar melalui corong clamp. Ibu bapa perlu tembak air paip kedalam corong menggunakan picagari yang disediakan untuk mencuci air kencing.
Luka khatan hendaklah dipastikan sentiasa bersih dan kering. Sekurang-kurangnya untuk 24 jam pertama, bayi tidak dipakaikan lampin pakai buang agar air kencing tidak meruap dan lembab menyebabkan jangkitan kuman.
Secara ringkasnya, luka hendaklah dibersihkan dan disapu ubat setiap kali bayi membuang najis selama beberapa hari sehingga luka kering. Biasanya luka khatan bayi lebih cepat sembuh kerana luka yang kecil dan kulit yang nipis.
Ubat yang diberikan seperti ubat tahan sakit, antibiotik dan krim luka perlu diberikan pada bayi mengikut arahan doktor. Jangan sapu ubat atau minyak pada luka tanpa nasihat doktor untuk mengelakkan masalah.
Biasanya tarikh lawatan susulan selepas beberapa hari untuk memeriksa luka atau buka clamp 5 hingga 7 hari lepas khatan. Jika kaedah laser, jahitan akan hancur sendiri tanpa perlu dibuka. Clamp boleh dibuka sendiri dirumah.
Manakala plastibell ia akan tanggal sendiri selepas beberapa hari. Biasanya 3-5 hari tetapi ada kes plastibell tidak tanggal sehingga 7-14 hari. Jika terlalu lama risiko jangkitan kuman lebih tinggi.