Penjagaan Selepas Bersunat Agar Cepat Sembuh

By Dr Hasbi / August 31, 2019
penjagaan selepas bersunat agar cepat sembuh

Penjagaan Selepas Bersunat Kini Mudah

Berbeza dengan masa dahulu kini penjagaan selepas bersunat jauh lebih mudah kerana teknik bersunat yang lebih moden dan bersih. Tok mudim dulu pakai pisau dan gunting saja tapi sekarang dah ada laser, clamp, stapler dan sebagainya.

Secara umumnya, luka berkhatan menggunakan teknik moden lebih bersih, kemas dan mudah dicuci. Kebanyakan kanak-kanak sekarang bersunat di klinik ataupun beramai-ramai di masjid yang dilakukan oleh pegawai atau pembantu perubatan.

Selain itu, faktor kebersihan juga sangat penting. Jika bersunat di klinik, peralatan dan tempat yang bersih dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman pada luka yang melambatkan penyembuhan.

Secara umum, luka bersunat mengambil masa selama 3 hingga 4 minggu untuk sembuh sepenuhnya. Tapi biasanya kanak-kanak sudah boleh kembali melakukan aktiviti harian seperti pergi ke sekolah selepas beberapa hari.

Jika sunat cara clamp, biasanya hari ke-4 sudah boleh pergi ke sekolah tapi kalau cara laser biasanya lama sedikit. Ini kerana clamp melindungi kepala zakar dan tempat luka adalah kering dan bersih. Tidaklah ngilu dan sakit bila berseluar. 

Kalau luka sunat laser yang berjahit mestilah jaga bersih betul-betul kalau nak cepat sembuh. Jika dijaga elok luka sunat laser pun cepat sembuh juga. Semua bergantung pada penjagaan selepas bersunat juga sebenarnya.  

Tips Persediaan Bersunat

Beberapa tips yang boleh diamalkan sebelum, semasa dan selepas bersunat.

Tips Persediaan Sebelum Bersunat

  •  Ibu bapa hendaklah memaklumkan kepada anak tentang bersunat agar mereka bersedia dari segi mental
  • Pujuk mereka dengan hadiah dan ceritakan kelebihan apabila mereka sudah bersunat
  • Raikan dengan menjamu mereka makanan kegemaran sebelum hari bersunat
  • Mandi atau berendam terlebih dulu sebelum datang ke klinik untuk bersunat
  • Bawa barang keperluan seperti kain pelikat, tuala kecil dan sapu tangan

Tips Ketika Proses Bersunat

  • Pastikan anak sudah makan dan minum secukupnya 
  • Minta anak kencing dan buang air besar jika perlu sebelum masuk ke bilik bersunat
  • Tenangkan anak yang takut dengan memujuk dan membaca doa atau surah Al-Quran bersama-sama
  • Bersembang, bermain permainan telefon atau menonton Youtube boleh membantu mereka leka
  • Ibu bapa jangan menunjukkan riak wajah takut atau seram sepanjang proses berlangsung 

Tips Penjagaan Selepas Bersunat

  • Pastikan luka dan balutan tidak basah terkena air selama 24 jam 
  • Jika mandi gunakan cawan plastik atau polisterin untuk menutup bahagian kemaluan agar tetap kering
  • Jika ada balutan, hendaklah dibuka selepas 24-48 jam jika walaupun kain balutan masih kering
  • Mesti cuci luka selepas 24 jam dan sapukan ubat krim antibiotik atau cecair antiseptik yang diberi
  • Guna gauze atau putik kapas untuk cuci luka menggunakan air suam dan keringkan dengan pengering rambut/kipas
  • Jika mahu boleh mandi selepas 24 jam cuma tidak boleh guna sabun pada bahagian kemaluan
  • Suruh anak berbaring dan boleh bangun untuk ke tandas atau solat sahaja selama 24 jam
  • Jika luka berdarah jangan panik. Tekap dan tekan dengan kain bersih beberapa minit sehingga ia berhenti 
  • Pantang makanan yang boleh menyebabkan gatal kepada anak contohnya udang, telur dan sebagainya
  • Jika bersunat cara klamp, berendam dalam besen berisi air selama 30 minit sebelum datang buka klamp
  • Jika bayi bersunat, boleh baca artikel persediaan khatan bayi lelaki.

Rumusan:‚Äč

Bersunat sememangnya suatu yang istimewa kerana ia berlaku sekali seumur hidup. Oleh itu sangat penting untuk ibu bapa agar membuat persediaan secukupnya sebelum anak bersunat. Pemilihan kaedah bersunat adalah keputusan ibu bapa kerana setiap cara ada kelebihan dan kelemahan masing-masing. Paling penting pemilihan doktor yang melakukan sunat itu haruslah benar-benar mahir agar tidak berlaku kemalangan yang tidak diingini, Insha Allah.

About the author

Dr Hasbi

Hai, saya Dr Hasbi dan pemilik Klinik DR HASBI. Saya akan menulis kandungan blog untuk berkongsi info berkaitan kesihatan.


>