fbpx
.st0{fill:#FFFFFF;}

Kisah Lucu Berkhatan di Klinik 

 May 17, 2019

By  Dr Hasbi

kisah lucu berkhatan penakut

Adik Lebih Berani Dari Abang

Kisah lucu ketika berkhatan yang saya nak ceritakan ini tidaklah bertujuan mengaibkan sesiapa apatah lagi mereka adalah pelanggan klinik saya. Cuma sekadar untuk mengisi masa lapang membaca kisah gelagat anak-anak ketika berkhatan.

Berlaku masa cuti sekolah bulan 12 yang lepas. Dua beradik dibawa ibu bapa untuk bersunat di klinik. Khabarnya itu kali kedua cubaan untuk bersunat si abang tetapi gagal. Si abang tu takut sangat pada jarum.

Kali ini si adik dah bersedia untuk berkhatan sekali dengan si abang. Bila tiba di klinik si adik memang steady. Abang berumur 9 tahun manakala si adik berumur 7 tahun. Disebabkan abang menolak maka adik yang mula dulu.

Bersunat Cara Klamp

Biasanya bila saya melihat kanak-kanak yang takut-takut nak bersunat saya akan cadangkan sunat cara klamp. Jika ada ibu bapa yang minta cara laser, saya akan pastikan anak tersebut bukan jenis yang 'ganas' contoh meronta-ronta dan menendang bila ketakutan.

Alasannya berkhatan cara klamp lebih cepat dan selamat. Saya tidak mahu ambil risiko tercedera sekiranya pisau laser terkena bahagian lain badan atau terkena kepala zakar jika anak meronta-ronta ketika memotong kulit kulup.

Akhirnya si adik selesai tanpa sebarang masalah. Alhamdulillah. Menangis merengek tu biasalah sebab takut bukannya sebab sakit. Adik dah keluar tiba giliran si abang pula. Tapi...mana abangnya pergi?  

Abang Main Nyorok-Nyorok

Rupanya si abang dah keluar klinik. Mujurlah ibu dan ayah kategori penyabar. Dipujuknya masuk dan kami pun sama-sama memujuk untuk masuk bilik. Susahnya memujuk akhirnya dah masuk bilik rupanya kena lagi memjuk untuk naik katil. Aduh.

Setelah hampir 10 minit memujuk akhirnya berjalan naik atas katil. Belum selesai lagi, setiap kali tangan saya bergerak setiap kali itu dia tersentak bangun dan menjerit tak mahu jarum! Macamana nak sorok jarum bius kalau macam ni. Proses memujuk masih diteruskan tanpa putus asa.

Dengan penuh hati-hati dan tiada pergerakan yang mengejut saya cuba untuk memulakan prosedur cuci dan steril namun tiba-tiba dia terpandang syringe yang terletak atas meja peralatan. Apa lagi terus meloncat turun dari katil dan berlari keluar! 

Kami Menyerah Kalah

Lantas si ayah mengejarnya. Si abang berlari dan menyorok dalam tandas. Sekali lagi kami memujuk. Habis masa dekat setengah jam memujuk si abang. Dipendekkan cerita, dia berjaya dipujuk dan baring atas katil.

Kali ni betul semua jarum dan syringe disorok. Saya mula mencuci dan mulalah masalah kedua. Dia punya takut menjerit dan meronta-ronta. Kakinya menendang-nendang. Kaki memang kuat, dipegang pun tak boleh berhenti.

Bila ditanya rupa-rupanya si abang ni budak silat. Peserta silat wakil daerah lagi! Memang bila tengok kakinya yang kuat saya dah berundur. Kalah. Saya cakap kat ayah dia, lain kali lah kita cuba lagi. Bahaya macam ni. Tak mahu ambil risiko kena tendang muka.

Nampak sedikit berubah air muka mak dan ayahnya. Rasa malu mungkin. Tak apa, kita tak boleh nak memaksa kalau dia sendiri tak mahu. Saya yakin perasaan takut tu saja yang melampau, kalau kira sakit kena jarum apa sangat dibandingkan sakit cedera bersilat.

Mungkin saya rasa ini satu kisah lucu berkhatan walaupun tidak bagi mak dan ayah kanak-kanak itu. Tapi sekurang-kurangnya saya tidak kenakan sebarang caj bagi kes sebegini.

Dr Hasbi


Hai, saya Dr Hasbi dan pemilik Klinik DR HASBI. Saya akan menulis kandungan blog untuk berkongsi info berkaitan kesihatan.

Your Signature

{"email":"Email address invalid","url":"Website address invalid","required":"Required field missing"}

Subscribe to our newsletter now!

>