
Berita Sedih Mangsa Jangkitan Pneumonia
Apakah cara pencegahan pneumonia yang berkesan sekiranya anda seorang yang sihat dan aktif? Atau sekiranya anda seorang yang selalu jatuh sakit? Bagaimana pula jika anda mahu melindungi anak-anak anda?
Pagi ini saya dikejutkan dengan berita seorang kenalan yang juga seorang doktor meninggal dunia akibat jangkitan pneumonia. Tak sangka kerana usia arwah baru awal 30-an dan sihat tubuh badan, malah seorang yang aktif bersenam.
Saya tidak pasti apakah jenis kuman yang menjadi punca jangkitan pneumonia, radang paru-paru beliau. Boleh jadi bakteria, virus, kulat atau jarang-jarang daripada punca lain. Paling kerap ialah bakteria Streptococcus Pneumoniae.
Tanda-Tanda Jangkitan Pneumonia
Tanda-tanda jangkitan pneumonia berbeza mengikut jenis kuman yang dijangkiti, umur, tahap kesihatan seseorang. Ia boleh jadi ringan atau teruk. Biasanya peringkat awal ia seperti demam batuk selsema biasa tetapi ia lebih lama.
Simptom yang serius seperti sakit dada bila batuk dan bernafas, susah bernafas, kahak berwarna kuning atau hijau, demam panas, lesu, berpeluh dan menggigil, loya, muntah dan cirit-birit mungkin menandakan jangkitan pneumonia.
Bayi dan kanak-kanak kecil mungkin tidak menunjukkan simptom yang ketara jika terkena pneumonia. Mereka mungkin batuk, muntah, nampak lemah, sukar bernafas dan tiada selera menyusu atau makan.
Dapatkan Rawatan Segera
Sekiranya anda atau keluarga mengalami tanda-tanda jangkitan pneumonia segeralah berjumpa doktor. Lebih-lebih lagi sekiranya anak berusia kurang 2 tahun atau warga berusia lebih 65 tahun.
Cara Pencegahan Pneumonia
Jangkitan pneumonia boleh dicegah dengan mengurangkan risiko jangkitan melalui beberapa langkah:
Suntikan Vaksin
- Dapatkan suntikan vaksin selsema Influenza setiap tahun. Jangkitan selsema Influenza adalah diantara penyebab utama jangkitan pneumonia.
- Kanak-kanak seawal usia 6 minggu boleh mendapatkan suntikan vaksin Pneumokokal. Terdapat beberapa jenis vaksin Pneumokokal mengikut kesesuaian umur.
- Terdapat juga beberapa vaksin yang boleh diambil untuk mencegah pneumonia. Contohnya batuk kokol (pertussis), campak (measles) dan cacar air (chicken pox).
Kerap Basuh Tangan
Telefon bimbit sebenarnya lebih kotor daripada tempat duduk tandas. Jadi, keraplah mencuci tangan terutamanya selepas menggunakan tandas, sebelum menyediakan makanan, sebelum makan, selepas membersihkan hidung dan sebagainya.
Jangan Merokok
Asap rokok merosakkan paru-paru dan menyebabkan sistem pertahanan paru-paru menjadi lumpuh dan mudah terdedah kepada jangkitan kuman. Perokok disarankan untuk mengambil vaksin Pneumokokal kerana risiko yang lebih tinggi mendapat pneumonia.
Sentiasa Berwaspada
- Biasanya pneumonia bermula dengan jangkitan pada saluran pernafasan seperti demam batuk selsema. Jika ia berlarutan selama beberapa hari sila berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut.
- Amalkan gaya hidup sihat. Penjagaan diet seimbang, kerap bersenam, rehat yang cukup dan sebagainya dapat meningkatkan tahap kesihatan dan menguatkan daya imun melawan penyakit.