
PRP Rawatan Terkini Kulit Wajah
Apakah Rawatan PRP Kulit Wajah?
Rawatan kecantikan PRP pada kulit wajah atau lebih popular dipanggil Rawatan Vampire. Nama yang agak menggerunkan apatah lagi jika melihat proses rawatan yang berdarah. Mungkin menakutkan sesetengah orang untuk mencubanya.
PRP (Platelet Rich Plasma) adalah prosedur yang melibatkan pengambilan darah melalui saluran vena pada lengan, kemudian diproses menggunakan mesin pemutar (centrifuge machine) untuk mengasingkan bahagian darah dan plasma mengandungi platelet.
Bahagian plasma yang mengandungi kepekatan tinggi platelet inilah PRP yang kemudian diasing dan disuntik kedalam bahagian kulit yang ingin dirawat. Biasanya kulit pada bahagian wajah dan leher menjadi pilihan. Sebabnya bahagian wajah dan leher biasanya menunjukkan kesan penuaan dan masalah kulit.
Rawatan PRP asalnya digunakan untuk merawat tisu yang rosak akibat kecederaan semasa aktiviti sukan seperti kecederaan otot, ligamen dan tendon. Selain itu ia juga banyak digunakan untuk merawat penyakit sendi reput osteoartritis.
Disebabkan PRP merangsang penghasilan kolagen semulajadi. Ia semakin popular digunakan sebagai satu rawatan kulit wajah dan memberi kesan pemulihan yang efektif. Rawatan PRP pada kulit wajah menjadikan kulit wajah menjadi lebih tegang, halus, gebu serta tona warna kulit yang sekata.
7 Sebab Kenapa Anda Patut Cuba Rawatan PRP Wajah
1. PRP Meremajakan Kulit Anda Secara Semulajadi
PRP merangsang penghasilan kolagen dan elastin semulajadi yang berfungsi menegang dan menebalkan kembali kulit yang menipis. Ia melicinkan dan menghilangkan garisan dan kedutan halus. Kerana ia meningkatkan kolagen, ia juga sangat efektif untuk memperbaiki tekstur dan tona kulit wajah secara menyeluruh. Ia sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kulit berjerawat dan rosacea.
2. PRP Selamat dan Tiada Risiko Pencemaran
PRP dihasilkan daripada darah sendiri dan prosedur dilakukan dalam keadaan yang bersih dan steril. Tiada risiko tindakbalas alergik kerana darah sendiri. Lagipun, rawatan PRP bukanlah perkara baru dalam bidang perubatan. Ia telah lama digunakan dalam Perubatan Sukan semenjak tahun 1970-an lagi kerana sifat pemulihan yang dimiliki PRP.
3. PRP Adalah Rawatan Kosmetik Semulajadi
Bahan yang digunakan adalah PRP yang diambil daripada darah sendiri tanpa campuran bahan atau ubat luar. Sedikit darah sendiri akan diambil dan diproses dalam mesin pemutar untuk menghasilkan PRP dan diasingkan dengan cermat dan steril.
4. PRP Boleh Merawat Kawasan Wajah Yang Sukar
PRP boleh merawat bahagian wajah yang sukar dicapai seperti bahagian bawah mata dimana ia kawasan terawal menunjukkan kesan penuaan wajah namun tidak boleh dirawat oleh rawatan laser.
5. PRP Adalah Prosedur Yang Ringkas dan Cepat
Rawatan PRP wajah boleh dijalankan di klinik sebagai pesakit luar. Ia hanya memakan masa yang singkat berbanding rawatan kosmetik lain seperti chemical peel, facelift dan rawatan laser dimana proses pemulihan selepas rawatan juga agak lama. Jika rawatan PRP anda boleh terus melakukan aktiviti harian.
6. PRP Lebih Murah Berbanding Rawatan Wajah Lain
Jika anda diberi peluang sekali untuk memilih rawatan kulit wajah anda mungkin akan memilih rawatan yang paling kos efektif. Kos rawatan PRP lebih murah jika dibanding dengan rawatan lain seperti laser dan chemical peel serta memberi kesan yang lebih tahan lama.
7. Kesan Yang Lebih Tahan Lama
Kesan selepas rawatan PRP boleh dilihat seawal 3-4 minggu tetapi kesannya tahan lama sehingga 12-18 bulan selepas siri rawatan awal 3-4 kali rawatan.